Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Islam Mengenai Dasar dan Urus Tadbir (IITQAN)

Kenyataan Akhbar IITQAN Mengenai Laporan Ketua Audit Negara

Naharudin Abdullah
Pengerusi IITQAN

Pertubuhan Ikatan Ilmuan Islam Mengenai Dasar dan Tadbir Urus (IITQAN) merujuk kepada Laporan Kedua Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada 4 Julai 2024. Laporan ini adalah selepas laporan pertama pada 6 Mac 2024. Ia mencangkupi dua komponen utama iaitu aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan. Anggota IITQAN merupakan gabungan kumpulan mantan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, ahli akademia, ahli korporat dan penggerak masyarakat bersedia berganding bahu untuk sama-sama memperkasa prinsip tadbir urus perkhidmatan awam selaras dengan teras 3Qs IITQAN iaitu Quranic, Quality dan Quantum Leap.

Laporan LKAN ini telah mengenalpasti siri kelemahan serius dalam pelaksanaan aktiviti/projek/program yang berpunca daripada pelbagai faktor. Faktor kelemahan pemantauan/penyeliaan; ketiadaan penyelarasan antara agensi; ketiadaan pangkalan data yang lengkap; dan kelemahan dalam polisi/prosedur kerja.
Manakala bagi pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan pula, LKAN telah mengenalpasti keperluan menambahbaik peraturan secara berterusan demi memastikan pelaksanaan aktiviti selaras dengan objektif penubuhan syarikat.

Mengambil cakna laporan ini, IITQAN memandang serius kelemahan amalan tadbir urus yang telah dikenalpasti oleh LKAN ini. Kelemahan-kelemahan serius ini
telah menyebabkan program/aktiviti/projek yang telah dirancang bukan sahaja lewat dari jadual, bahkan kualiti kerjanya yang jauh dari memuaskan, pemantauan yang lemah, berlakunya peningkatan kos yang tidak munasabah, seterusnya rakyat tidak mendapat nilai faedah optimum ketimbang dengan wang negara yang telah dibelanjakan. Kelemahan ini sudah pasti akan terus mengikis kredibiliti kerajaan dan menghakis keyakinan rakyat ke atas keupayaan jentera kerajaan dalam mengurus negara. Ketirisan, kecuaian dan pelanggaran peraturan dalam perbelanjaan yang melibatkan sekumpulan yang menggelarkan mereka intelektual adalah mengaibkan.

Justeru, IITQAN menggesa pihak Kerajaan Madani di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Dato Seri DiRaja Anwar bin Ibrahim mengambil langkah drastik
dalam menangani kepincangan tadbir urus yang sering kali dilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Mekanisma Pemantauan dan Penguatkuasaan amat perlu disegerakan secara lebih tuntas, seiring dengan ikhtiar pengislahan yang sedang digerakkan di setiap peringkat.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    © 2025 IITQAN. Hak cipta terpelihara.