Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Islam Mengenai Dasar dan Urus Tadbir (IITQAN)

KENYATAAN MEDIA (IITQAN) : KEMPEN KESEDARAN RCI TABUNG HAJI: MEMPERKUKUH AMANAH, TADBIR URUS DAN INTEGRITI PELABURAN DANA UMAT

KUALA LUMPUR, 25 SEPTEMBER 2026.

IITQAN mengambil perhatian serius terhadap penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.

IITQAN berpandangan bahawa pendedahan Laporan RCI tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu politik atau sejarah pengurusan sebuah institusi, tetapi sebagai pengajaran besar mengenai amanah, integriti, tadbir urus dan pengurusan dana umat Islam.

Laporan RCI yang telah didedahkan kepada umum pada 23 Julai 2026 mengenal pasti kelemahan tadbir urus serta pengaruh politik dalam beberapa aspek pengurusan TH dan menggariskan 25 syor penambahbaikan struktur serta kawal selia. RCI turut mengesyorkan audit forensik terhadap 14 pelaburan terdahulu.

Kerajaan kemudian memaklumkan bahawa tahap kerugian TH adalah hampir RM13 bilion merangkumi RM10.2 bilion yang ditangani melalui Urusharta Jamaah pada 2018 dan RM2.6 bilion rosot nilai berkaitan 14 pelaburan bermasalah tersebut. Daripada 14 pelaburan tersebut, tujuh dilaporkan mengalami kerugian 100 peratus.

IITQAN MENYERU EMPAT PERKARA

Pertama: RCI TH mesti menjadi bahan pendidikan masyarakat.

IITQAN menyaran dan menggesa supaya Laporan RCI Tabung Haji tidak hanya menjadi bahan perbahasan politik atau berita semasa, tetapi diterjemahkan kepada kempen kesedaran awam mengenai tadbir urus, amanah dan integriti institusi nasional.

Kedua: Audit forensik perlu dilaksanakan secara telus dan profesional.

IITQAN menyokong audit forensik terhadap 14 pelaburan yang dikenal pasti oleh RCI, supaya fakta berkaitan proses membuat keputusan, due diligence, penilaian risiko, struktur kelulusan dan pemantauan pelaburan dapat dikenal pasti dengan jelas. Sekiranya terdapat bukti salah laku, IITQAN berpandangan bahawa tindakan sewajarnya hendaklah diambil berdasarkan undang-undang dan proses keadilan yang adil dan telus.

Ketiga: Pisahkan kuasa politik dari terlibat dalam keputusan pelaburan.

Keputusan pelaburan dana Tabung Haji hendaklah dibuat berdasarkan prinsip fidusiari, kepakaran profesional, analisis risiko, due diligence dan kepentingan pendeposit, bukan atas pertimbangan politik atau kepentingan pihak tertentu. IITQAN menyambut baik cadangan RCI untuk memperkukuh kriteria pelantikan ahli Lembaga, meningkatkan kepakaran anggota, memperkukuh kerangka kawal selia dan tadbir urus korporat Tabung Haji.

Keempat: Reformasi mesti bersifat institusi dan jangka panjang.

IITQAN berpandangan bahawa matlamat utama bukan sekadar mencari siapa yang harus dipersalahkan terhadap sejarah yang telah berlaku. Yang lebih penting ialah memastikan kelemahan sistem yang memungkinkan keputusan tidak wajar berlaku tidak berulang.

KEMPEN KESEDARAN “RCI TABUNG HAJI – BELAJAR DARIPADA SEJARAH”

Sehubungan itu, IITQAN akan menggerakkan Kempen Kesedaran RCI Tabung Haji yang bersifat pendidikan dan non-partisan. Kempen ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap:

“Apa yang berlaku?” → “Mengapa ia berlaku?” → “Siapa yang bertanggungjawab mengawalnya?” → “Bagaimana ia boleh dielakkan pada masa hadapan?”

Kempen ini bukan bertujuan menghukum mana-mana pihak, sebaliknya menggalakkan masyarakat memahami kepentingan tadbir urus yang baik, integriti dan akauntabiliti institusi.

Justeru, perbincangan mengenai RCI TH hendaklah melihat dua dimensi secara seimbang: mengambil iktibar daripada kelemahan masa lalu dan memperkukuh pencapaian dan pembaharuan institusi pada masa kini.

IITQAN menyaran dan menggesa supaya semua pihak – kerajaan, pengurusan TH, ahli Lembaga, pengawal selia, ahli akademik, ulama, profesional kewangan, media dan masyarakat – supaya menjadikan pengalaman Tabung Haji sebagai satu kajian kes nasional mengenai kepentingan tadbir urus dalam pengurusan institusi awam.

IITQAN – Ikatan Ilmuwan Islam Mengenai Dasar dan Tadbir Urus

25 September 2026
Kuala Lumpur

    Comments are closed

    © 2025 IITQAN. Hak cipta terpelihara.